Pengajaran Murtabak.

Hari-hari yang lepas, aku membeli  sebungkus nasi goreng ikan masin bersama 2 keping murtabak di pasar malam . Satu murtabak ayam dan satu lagi murtabak daging. Aku beli dua je. Tak lebih dari itu.

Maka tibalah masa aku bersama 5 orang lagi member (aimi, rahmah, zue, najwa, farida) memakan makanan-makanan yang telah kami  beli bersama-sama di pasar malam. Ada nasi kerabu, nasi goreng ikan masin, murtabak daging, murtabak ayam, mee goreng, buah epal, buah tembikai, rangka ayam, laksa penang, kaya ball, ayam panggang, telinga keling, jagung bakar, ayam ala2 ayam goreng uncle bob, air teh bunga, air asamboi dan air jambu. Setakat ini itulah yang masih segar diingatan aku kala aku menulis karangan ini.

Sesudah semua orang menzahirkan kekenyangan dengan cara masing-masing, ( antaranya  sendawa kuat, baring terlentang sambil memegang perut yang sudah kembung dan mata sudah sepet tahap maksima ) murtabak aku masih tinggal separuh. Separuh murtabak ayam, separuh murtabak daging. 

Jika akulah si murtabak itu, mungkin aku akan berfikir " ah, aku sudah tidak popular lagi dikalangan manusia. Kerana itu mereka tidak mahu menjamah aku sehingga habis. Tidak sedapkah aku? Tidak enakkah aku? Ini semua salah  tukang masak yang memasak aku. Perisanya mungkin tidak cukup sehingga manusia-manusia di hadapan aku ini sudah tidak memandang diriku yang hina ini..." sambil mengeluarkan air mata kesedihan.

Maka, aku membuat keputusan untuk membungkus murtabak itu untuk sarapan pagi esok hari kalau masih eloklah.

Esoknya, aku membuka bungkusan murtabak. Semut-semut kecil sudah awal bersarapan dengan menu murtabak pasar malam semalam. Hendak dihalau semut-semut yang bilangannya aku congak mungkin ada dalam 94 ekor, rasa kasihan menyelubungi. Hendak dimakan murtabak itu, takut termakan sekali dengan semut-semut. Pada pengetahuan aku, memakan semut akan mengakibatkan penyakit lupa. Tetapi, aku tidak pasti sejauh mana seriusnya tahap pelupa tersebut. Adakah sekadar lupa handphone letak kat mana atau sehingga tahap lupa nama sendiri? Jangan tanya aku kerana aku juga tidak pasti. Ah, aku dah lari topik. 

Akhirnya, aku buang murtabak itu. Mungkin itu rezeki semut-semut tersebut. 

Pengajarannya, jangan beli murtabak dua keping. 

Satu cukup. 

1 comment: